Amalan pengebumian Kepercayaan akhirat Mesir Purba

Upacara Pembukaan Mulut dilakukan pada mumia sebelum di depan makamnya. Anubis memegang mumia si mati. Gambar daripada Papirus Hunefer, Kitab Orang Mati Dinasti ke-19 (s. 1300 SM)

SI mati perlu menghadapi banyak halangan sebelum dapat ke peringkat akhir dunia akhirat. Walau bagaimanapun, dengan bantuan orang yang hidup, si mati dibekalkan perlindungan dan pengetahuan yang mereka perlukan untuk dilahirkan semula di akhirat.

Makam

Reka bentuk dan skala makam perkuburan Mesir berbeza-beza mengikut zaman, walaupun fungsinya tetap sama. Walaupun kebanyakan makam dibina semasa si mati masih hidup, makam Mesir dibina untuk menempatkan mayat si mati tetapi juga berfungsi untuk menghantar jiwa ke alam baka.[4] Kebanyakan benda yang ditemui di dalam makam bergantung pada status orang yang dikebumikan. Walau bagaimanapun, untuk membantu si mati, kebanyakan makam dihias dengan teks yang bertujuan membimbing jiwa yang telah meninggal ke alam baka, sesuatu yang boleh didapati oleh semua orang.[5] Sebuah pintu palsu dipercayai adalah ambang antara dunia orang hidup dan orang mati yang melalui mana dewa atau roh si mati boleh masuk dan keluar.[6] Makam-makam firaun dipenuhkan dengan harta yang banyak. Barangan kubur dan harta biasanya milik peribadi, bekalan untuk melancarkan perjalanan si mati ke akhirat atau persembahan kepada para dewa.

Teks-teks akhirat

Berabad-abad lamanya, orang Mesir menghiasi makam dan keranda mereka dengan mantera dan teks suci yang diharap dapat membantu si mati di akhirat. Dengan berkembangnya budaya Mesir, teks-teks ini juga berkembang dan menjadi lebih kompleks dan terperinci.

Teks Piramid

Teks Piramid dalam piramid makam Teti I

Teks Piramid ialah mantera-mantera suci pertama yang pernah diukir pada dinding piramid-piramid diraja Mesir. Bermula dari zaman Kerajaan Lama, teks-teks ini digunakan khas oleh firaun Mesir untuk menghias dinding makam mereka. Walau bagaimanapun, Permaisuri-permaisuri Mesir dan pegawai-pegawai tinggi pun mula meletakkan Teks Piramid di makam mereka. Tujuannya adalah untuk membantu firaun menyelesaikan perjalanannya di akhirat, dengan menyampaikan mendiang raja tentang jalan yang dia patut lalui dan bahaya yang mungkin ada di sepanjang jalan.[7]

Teks keranda

Pada zaman Kerajaan Pertengahan Teks Piramid digantikan dengan Teks Keranda. Ia mantera yang ditulis pada keranda si mati. Teks ini bertujuan untuk melindungi si mati di akhirat dan memberikan mereka dengan sihir pengubah bentuk yang mereka akan perlukan dalam perjalanan. Teks-teks Keranda ini lebih mudah didapati, jadi rakyat biasa Mesir pun berpeluang untuk mencapai hidup di akhirat. Selain itu, koleksi Teks-teks Keranda yang dikenali sebagai Kitab Dua Jalan berfungsi sebagai pedoman terawal ke akhirat.[8]

Kitab Orang Mati

Kitab Orang Mati ialah koleksi mantera daripada Teks Piramid dan Teks Keranda. Pada zaman Kerajaan Baru, Kitab Orang Mati biasanya dicatat pada papirus. Namun, ia juga boleh ditemui di dinding makam, keranda dan pembalut mumia. Seperti Teks Keranda, mantera-mantera dalam Kitab Orang Mati digunakan oleh semua orang. Mantera-mantera ini memberikan nasihat, perlindungan dan pengetahuan kepada si mati semasa melalui alam ghaib.[9]

Kitab Alam Ghaib

Jam ke-11 buku Amduat

Kitab Alam Ghaib mengandungi pelbagai teks yang menerangkan alam ghaib kepada si mati dan berfungsi sebagai panduan untuk perjalanan terakhir mereka. Disebabkan si mati dianggap melakonkan semula kitaran kelahiran semula Ra di akhirat, teks-teks ini berfokus pada separuh kedua perjalanan dewa matahari melalui alam baqa pada waktu malam. Kitab Alam Ghaib lebih awal, yang merangkumi Amduat dan Kitab Gerbang, terbahagi kepada dua belas bahagian, melambangkan dua belas jam yang dewa matahari lalui di alam baqa. Kitab-kitab terkemudian, seperti Kitab Gegua dan Kitab Bumi, lebih teratur dengan seksyen asing untuk menceritakan naratifnya. Kesemua kitab ini juga mengandungi ilustrasi terperinci tentang alam ghaib, dan ia sering diukir pada keranda dan dinding makam.[10]

Kitab-kitab Langit

Kitab-kitab Langit terdiri daripada tiga teks akhirat bertajuk, Kitab Nut, Kitab Siang dan Kitab Malam. Teks-teks ini diukir di siling makam dan menekankan peranan dewi Nut dalam kehidupan akhirat Mesir.[11]

Keranda

Keranda dalam budaya Mesir berasal dari Kerajaan Lama. Semasa era ini, keranda agak ringkas dengan sisi yang sama ukuran dengan perincian kecil. Ia mempunyai tiga bukaan, satu untuk jiwa Ka lalui dan dua yang nampak seperti mata. Lama-kelamaan, keranda mula berubah. Menjelang Kerajaan Baru, keranda bukan sahaja lebih popular malah dijual kepada orang. Keranda kini menggambarkan si mati, dalam rupa, bentuk dan perhiasan.[12] Si mati juga sering digambarkan dengan pakaian putih, melambangkan kesucian jiwa selepas diadili di Dewan Maat.[13] Cara kedudukan mayat juga penting bagi orang Mesir purba. Awalnya, mayat akan diletakkan mengiring dengan kepala mereka diarahkan ke selatan. Kemudiannya mayat terlentang, dan kepala si mati lebih disukai jika dihadapkan ke utara.[14]

Proses pemumiaan

Isis (kiri) dan Nephthys (kanan) sebagai layang-layang di usungan satu mumia, abad ke-13 SM

Orang Mesir purba memumiakan si mati kerana mereka percaya mayat perlu dipelihara agar si mati dilahirkan semula di akhirat.[15] Pada mulanya, mereka sangka seperti Ra, jasad mereka atau Khat, akan bangkit semula selepas mereka menyelesaikan perjalanan mereka melalui alam ghaib.[16] Apabila orang Mesir sedar mayat mereka akhirnya akan mereput, mereka mula menganggapnya bejana untuk roh si mati. Mereka potong-potong mayat dan balutkannya untuk memeliharanya, andai kata roh mereka kembali.[17] Skarab jantung, sejenis azimat berbentuk kumbang, digunakan sebagai perhiasan yang dipakai oleh firaun yang telah mati. Fungsi skarab jantung adalah untuk mendiamkan jantung semasa ia ditimbang di alam kubur bagi memastikan ia tidak berbohong terhadap si mati.[18] Skarab jantung sering diletakkan di atas jantung dan diikat di bawah pembalut mumia. Ini untuk memastikan ia tidak boleh dikeluarkan daripada mumia.[19]

Persembahan pengebumian

Ramai orang Mesir fikir makam ialah rumah si mati, jadi persembahan perlu diletakkan berhampiran mayat si mati.[20] Orang Mesir percaya walaupun sudah mati, roh akan terus hidup kerana nyawa adalah asing daripada jasad. Nyawa dipanggil Ka, dan ia dianggap jiwa yang tidak boleh mati. Ba adalah satu lagi bahagian jiwa yang boleh bergerak-gerak dan tinggal di dalam Ka.[21] Persembahan yang ditinggalkan untuk si mati termasuk pakaian dan perhiasan berharga, tetapi persembahan yang paling penting adalah makanan,[22] kerana walaupun Ka bercerai dari badan, ia masih boleh lapar.[21]